Maritim Malaysia rampas 20 kilogram benih kerang

Antara benih kerang yang ditemui dalam pemantauan dijalankan di sekitar perairan Kuala Selangor di sini pada Jumaat.
Antara benih kerang yang ditemui dalam pemantauan dijalankan di sekitar perairan Kuala Selangor di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tindakan dua individu yang melarikan diri sebaik ternampak bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berdekatan jeti Kuala Selangor di sini membongkar penemuan 20 kilogram benih kerang pada Jumaat.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua suspek terlibat mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

"Rondaan pada jam 2.15 petang itu dijalankan bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Ehsan,Op Tiris 3.0 dan Op Black Gold di sepanjang perairan Selangor.

"Semasa rondaan dan pemantauan di perairan Sungai Kuala Selangor, dua lelaki dalam keadaan yang mencurigakan bertindak melarikan diri serta meninggalkan dua guni di atas jeti apabila bot ronda cuba menghampiri mereka," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua guni itu berisi anggaran 20 kilogram benih kerang yang disyaki dicuri.

"Kesemua benih kerang yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu kemudian dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Perkara 4(3) di bawah peraturan – peraturan perikanan (pemulihan dan kultur kerang 2002)," katanya.

Menurutnya, tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Tugas ini dilaksanakan bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Selangor sentiasa selamat, aman dan terkawal.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!