An-Naqa' solusi wanita berhaid selesaikan tawaf ketika haji, umrah
NAQA' bermaksud “tiada darah” atau waktu berhentinya darah (dalam dan luar faraj).
Darah ini terhenti dalam tempoh kitaran haid, sama ada dalam tempoh kebiasaan haid (contohnya tujuh (7) hari bagi sesetengah wanita) atau dalam tempoh maksimum haid iaitu 15 hari).
Dalam hal ini terdapat dua pandangan dalam mazhab Syafie:
Pertama, menurut pandangan al-Azhar (pandangan muktamad dalam mazhab Syafie), waktu darah keluar dan waktu darah berhenti dalam tempoh haid adalah semuanya dikira sebagai haid.
Ini bermaksud keseluruhannya termasuk ketika waktu darah berhenti atau bersih (naqa’) di antara tempoh kitaran haid dikira haid.
Sebagai contoh ia boleh digambarkan seperti berikut:
Aminah datang haid selama lima (5) hari, pada hari keenam (6) dan ketujuh (7) haidnya berhenti (bersih luar dan dalam faraj), dan pada hari kelapan (8) haidnya keluar kembali sehinggalah hari kesepuluh (10).
Mengikut pandangan ini, kesemua tempoh dari hari pertama (1) sehingga hari kesepuluh (10), wanita tersebut dalam keadaan berhaid dan dia dilarang melakukan ibadat-ibadat yang harus dilakukan oleh orang yang dalam keadaan suci.
Kedua, menurut pandangan Muqabil al-Azhar (pandangan ini juga berasaskan dalil yang kuat, tetapi pendapat al-Azhar berdasarkan dalil yang lebih zahir daripada Muqabilnya) naqa’ antara tempoh haid dihukumkan sebagai suci.
Ia boleh digambarkan sebagaimana berikut:
Aisyah datang haid selama lima (5) hari, pada hari keenam (6) dan ketujuh (7) haidnya berhenti (bersih luar dan dalam faraj), dan pada hari kelapan (8) haidnya keluar kembali sehinggalah hari kesepuluh (10).
Mengikut pandangan kedua ini, hari-hari keenam (6) dan ketujuh (7) haid tersebut berhenti adalah dikira Aisyah berada dalam keadaan suci, manakala hari-hari pertama (1) hingga kelima (5) serta hari kelapan (8) hingga kesepuluh (10), Aisyah berada dalam keadaan berhaid.
Pandangan ini diamalkan dalam pelaksanaan solat, puasa, tawaf dan dihalalkan baginya untuk bersetubuh pada masa naqa’.
Bagaimanapun menurut ijmak ulama, tempoh naqa’ tidak diambil kira (tidak dihukumkan suci) untuk kiraan idah.
Berdasarkan penjelasan ini, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-40 pada 23 hingga 25 Oktober 2023 memutuskan, untuk mengguna pakai pandangan Muqabil al-Azhar di dalam mazhab Shafie, iaitu seseorang itu dikira suci pada waktu naqa' secara mutlak, tanpa terikat dengan tempoh menunggu selama 24 jam untuk pengesahan suci dari haid.
Jemaah tersebut juga boleh menggunakan tempoh naqa’ untuk menyelesaikan tawaf tanpa terikat dengan tempoh keberadaan di Makkah sama ada masa untuk jemaah berada di Makkah adalah singkat atau masih lama untuk sampai kepada waktu wuquf, masa keberangkatan ke Madinah atau pulang ke Malaysia dan sama ada dalam situasi sibuk atau tidak.
Oleh itu, jemaah wanita yang memperoleh waktu naqa' ketika dalam tempoh kebiasaan haid atau dalam tempoh maksimum haid, boleh menggunakan pandangan Muqabil al-Azhar di dalam mazhab Shafie untuk menyelesaikan tawafnya.
Dalam tempoh tersebut juga, jemaah boleh melakukan ibadat-ibadat solat, puasa dan lain-lain.
Semua ibadatnya yang dilaksanakan semasa tempoh naqa’ seperti solat, puasa dan tawaf adalah sah. Kecuali naqa’ tidak diambil kira untuk menyelesaikan tempoh idah.
Juga dihalalkan baginya bersetubuh pada waktu tersebut.
Sekiranya haid datang kembali, dia dianggap berada dalam keadaan tidak suci dan ini menghalangnya daripada melakukan semua ibadat yang diharuskan semasa suci.
Begitu pun jemaah hendaklah memastikan dia benar-benar suci dalam dan luar faraj dan kemudian mandi wajib sebelum melaksanakan ibadat-ibadat yang dinyatakan.
*Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!