Wanita 'beri' scammer lebih RM160,000
IPOH - Seorang wanita kerugian lebih RM160,000 selepas diperdaya sindiket panggilan palsu dalam kejadian pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa berusia 45 tahun itu pada awalnya menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan yang memaklumkan wanita tersebut telah mengambil ubat terkawal dari hospital.
Menurutnya, selepas menafikan perkara itu, mangsa dari Taman Tawas Gemilang di sini kemudian disambung kepada seorang lagi lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan menakutkan mangsa kononnya mempunyai rekod terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.
"Bagi menyakinkan mangsa, suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman telah mengarahkan mangsa untuk mengikut arahannya. Mangsa yang dalam ketakutan telah bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh suspek.
Mangsa yang dalam ketakutan telah bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh suspek dengan menghantar gambar kad pengenalan sebelum suspek memberikan satu surat mengandungi butiran kes serta waran tangkap ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Yahaya berkata, mangsa juga diminta membuat pengeluaran wang tunai dari akaun simpanan peribadi berjumlah RM168,400 untuk dimasukkan ke dalam lima akaun bank yang berbeza milik suspek.
Katanya, setelah selesai wang tersebut dimasukkan, barulah mangsa menyedari diperdaya dan membuat laporan polis.
Susulan itu, Yahaya memaklumkan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!