Kedai, 4 kenderaan musnah dijilat api pada Tahun Baharu Cina
MELAKA - Sebuah kedai menjual peralatan dapur dan elektrik serta empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Seri Duyong 2 di sini awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, sepasukan bomba dengan keanggotaan 35 orang digerakkan ke lokasi susulan panggilan kecemasan pada 12.23 tengah malam.
"Sejurus tiba di lokasi sembilan minit kemudian, didapati benar berlaku kebakaran kedai jenis separuh kekal yang berkeluasan 70x250 kaki persegi itu telah 80 peratus terbakar.
"Difahamkan pada waktu kejadian kedai telah ditutup dan kebakaran itu turut melibatkan dua kereta iaitu jenis Toyota Estima dan Proton Satria, satu lori jenis Isuzu dan satu van," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Muhammad Izwan Arief berkata, api dapat dikawal kira-kira 3.40 pagi hasil operasi pemadaman oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dibantu BBP Padang Temu, BBP Melaka Tengah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tangga Batu.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada 1.17 tengah hari selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan tiada risiko berbahaya telah dipastikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!