Yob Kuang masuk perangkap

Yob Kuang yang dilaporkan dalam keadaan sihat dibawa ke NWRC untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan pembaca
Yob Kuang yang dilaporkan dalam keadaan sihat dibawa ke NWRC untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan pembaca
A
A
A

TAMBUN - Seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang perangkap di Ulu Kuang, Chemor di sini pada Sabtu.

Tangkapan haiwan pemangsa yang diberi nama Yob Kuang dianggarkan seberat 156 kilogram (kg) itu memberi kelegaan kepada penduduk kampung selepas lebih setahun dibelenggu ketakutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Kuang, Hamdan Ishak berkata, penduduk sebelum ini berasa takut untuk bekerja di kebun getah dan sawit serta melepaskan ternakan.

"Penduduk mengadu ada terserempak harimau malah ada terjumpa kesan tapak kaki hinggakan ada yang tidak berani keluar menoreh getah dan tuai buah sawit kerana bimbang keselamatan diri.

"Syukur, apabila hari ini harimau yang saiz besar berjaya masuk perangkap dan keadaan itu sekali gus melegakan penternak di sini," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Harimau belang ini masuk perangkap yang dipasang di Ulu Kuang, Chemor pada Sabtu. Foto Ihsan pembaca
Harimau belang ini masuk perangkap yang dipasang di Ulu Kuang, Chemor pada Sabtu. Foto Ihsan pembaca

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Perhilitan Perak, Nor Hani Abdul Samat berkata, aduan kehadiran harimau ini diterima pada Khamis dan pihaknya mengambil tindakan awal memasang kamera perangkap di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2.4 kilometer dari Hutan Simpan Bukit Kinta.

"Berdasarkan rekod itu, kita mengesan kehadiran harimau berkenaan dan seterusnya perangkap dipasang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Ketika pemeriksaan jam 11 pagi (Sabtu), harimau sudah masuk perangkap. Harimau jantan yang dianggarkan berusia enam tahun disahkan dalam keadaan sihat," katanya.

Menurut beliau, harimau terbabit kemudian dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!