Kegembiraan tujuh sekawan bertukar tragedi, rakan OKU lemas

Mayat mangsa OKU ditemukan lemas di dasar sungai dengan kedalaman tujuh meter di Air Terjun Berkelah, Kuantan pada Sabtu. Foto JBPM Pahang
Mayat mangsa OKU ditemukan lemas di dasar sungai dengan kedalaman tujuh meter di Air Terjun Berkelah, Kuantan pada Sabtu. Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Kegembiraan tujuh rakan bermandi-manda di Air Terjun Berkelah, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan (pelbagai) ditemukan lemas pada Sabtu.

Mayat Harun Mahmud, 20, yang beralamat di Kampung Baru Gambang ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dasar sungai dengan kedalaman tujuh meter, pada jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang bekerja sendiri bersama dua lagi rakannya ke kawasan lebih dalam dan menyebabkan mereka hanyut pada jam 11.30 pagi.

"Dua rakan mangsa hampir lemas sempat berpaut pada dahan kayu di tebing sungai manakala mangsa telah didapati hilang.

"Rakan-rakan mangsa yang lain tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan kejadian berlaku sangat pantas dan keadaan dasar kolam yang sangat dalam," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tujuh rakan menaiki lima motosikal telah tiba hutan terbabit pada jam 11.20 pagi.

"Mangsa bersama enam rakan lain telah mandi di bahagian hilir Air Terjun Berkelah iaitu kawasan lubuk yang agak luas, sebelum mandi ke kawasan lebih dalam," ujarnya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari memberitahu kawasan kejadian merupakan antara lokasi yang sering dikunjungi untuk aktiviti berkelah dan mandi-manda.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan maklumat diperoleh, kawasan berkenaan dikawal selia oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gelugur, di Gambang.

“Setiap pengunjung yang masuk di kawasan berkenaan ada dikenakan bayaran, namun begitu tidak kelihatan sebarang papan tanda amaran atau peringatan diletakkan di kawasan berkenaan, “ katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Taman Tas dan pasukan kecemasan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan itu.

Menurutnya, pegawai perubatan bersama dua pembantu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Jelasnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang hampir lemas turut dibawa ke hospital bagi tujuan rawatan lanjut.

“Operasi mencari dan mengesan mangsa lemas ditamatkan pada jam 1.30 petang tadi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!