Setiausaha Pertahanan AS nafi tentera berundur dari Iraq

Tentera AS menghalang penduduk Iraq daripada menghampiri kedutaan AS.
Tentera AS menghalang penduduk Iraq daripada menghampiri kedutaan AS.
A
A
A

WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan, Mark Esper semalam menafikan laporan bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) kini membuat persediaan bagi meninggalkan Iraq selepas Parlimen negara itu mengundi untuk mengusir tentera AS, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Penafian itu dibuat selepas beberapa saluran berita melaporkan mengenai dakwaan bahawa surat Jeneral William Seely daripada Kor Marin yang menyelia operasi di Iraq memaklumkan para pegawai tentera gabungan pimpinan AS berkaitan pelan untuk meninggalkan negara tersebut.

Esper menafikan sebarang pengetahuan mengenai surat itu dan memaklumkan pemberita di Pentagon bahawa Jabatan Pertahan sedang meneliti perkara tersebut.

"Kami sedang cuba mencari dari mana ia datang, apakah maksudnya. Bagaimanapun tiada ada keputusan untuk meninggalkan Iraq," katanya.

Surat itu yang kononnya ditulis oleh Seely kepada Abdul Amir, timbalan pengarah pusat kawalan perintah operasi bersama Iraq memaklumkan beliau bahawa tentera gabungan pimpinan AS akan menempatkan semula tentera pada hari-hari dan minggu-minggu akan datang sebagai persediaan untuk pergerakan seterusnya.

Seely dilaporkan merujuk kepada undi parlimen Iraq kelmarin yang menyaksikan penggubal undang-undang mendesak agar tentera AS dan asing diusir dari negara itu susulan serangan udara yang menyebabkan komander tertinggi tentera elit Iran terbunuh di Baghdad.

"Kami menghormati keputusan berkaitan kedaulatan negara anda yang mengarahkan agar kami keluar," kata Seely dalam surat itu yang salinannya disiarkan di media sosial.

Ketulenan surat itu bagaimanapun tidak dapat disahkan oleh Anadolu.

Artikel Berkaitan:

Adel Abdul Mahdi, Perdana Menteri sementara Iraq memaklumkan duta AS ke negara itu semalam mengenai keputusan Parlimen berkaitan perkara tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!