Dua lagi anggota polis direman libat kes pemerasan RM35,000
JOHOR BAHRU - Dua lagi anggota polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kedua-dua anggota berkenaan kini direman dua hari sehingga Ahad berhubung pemerasan membabitkan keluarga suspek yang ditahan berkaitan kes dadah.
"Berhubung siasatan kes tersebut, dua lagi anggota polis IPD Seri Alam ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan.
"Bagaimanapun, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam yang direman sejak Rabu lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rabu lalu, seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan tujuh pegawai rendah dari IPD Seri Alam ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang tukang cuci wanita.
M Kumar berkata, kesemua individu berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima pada 9.32 malam, Isnin lepas.
Pada jam 9.32 malam Isnin lalu, polis Johor menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.
Sebelum ini, tular satu laporan yang dipercayai berhubung tangkapan kesemua pegawai polis itu di aplikasi Telegram.
Laporan itu menyatakan seorang tukang cuci wanita mendakwa seorang anggota polis telah meminta wang sebanyak RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Wanita berkenaan mendakwa hadir di IPD Sri Alam untuk menyerahkan wang berjumlah RM35,000 sebelum membuat laporan polis selepas mendapati adiknya masih tidak dibebaskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!