Lindung butiran peribadi, elak ditipu
BARU-baru ini, tular di media sosial beberapa individu di Dungun, Terengganu mendakwa kehilangan wang dalam akaun bank selepas membuat pendaftaran dalam sistem Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur mangsa terpedaya dengan pancingan data (phishing) oleh sindiket penipuan menerusi akaun Tabung Haji dan Bank Islam.
Beliau berkata, kehilangan wang itu juga tidak mempunyai kaitan dengan sistem yang diperkenalkan kerajaan tersebut.
Pada Sabtu, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak ketiga yang dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggannya.
Pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun daripada kaedah penipuan data serta perisian hasad (malware).
Peneraju perbankan Islam itu berkata, sebarang perubahan butiran dan akaun pelanggan hanya boleh dilakukan menerusi perbankan internet di laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih GO by Bank Islam, GO Biz by Bank Islam serta BE U by Bank Islam.
Isu kehilangan wang dalam akaun bank secara tiba-tiba ini bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum menjalankan operasi secara tradisional seterusnya perbankan elektronik, terdapat juga laporan berkaitan kes penipuan melibatkan sindiket.
Ia menjadi lebih ketara apabila teknologi digunakan dalam operasi perkhidmatan berkenaan.
Kecuaian pengguna turut menjadi penyumbang terhadap kes ini seperti berkongsi maklumat peribadi dengan pihak ketiga, tidak berhati-hati semasa menggunakan sambungan WiFi awam dan menekan pautan yang meragukan.
WiFi awam dikatakan tidak selamat untuk digunakan kerana ia boleh diakses secara meluas oleh orang ramai termasuk penggodam.
Justeru itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih peka dan sentiasa berhati-hati sebelum membuat sebarang bentuk perkongsian sama ada wang atau maklumat dengan pihak lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!