Warga Singapura hina Agong, Perlembagaan Malaysia boleh cetus huru-hara
JOHOR BAHRU - Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) Johor tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada malam Sabtu mendesak siasatan dan tindakan dikenakan terhadap seorang warga Singapura yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Malaysia.
Ahli Majlis Tertinggi Masia Johor, Zamrin Hamzah berkata, penghinaan itu dilakukan menerusi video berdurasi sembilan minit 47 saat yang tular dalam aplikasi WhatsApp sejak Jumaat.
Beliau yang juga Presiden Ihsan berkata, perbuatan itu sangat biadab dan merupakan satu jenayah termasuk boleh menjejaskan ketenteraman awam malah merosakkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Apa yang dilakukan jelas menunjukkan pelaku sengaja memperlekeh dan mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.
Kalau tidak diambil tindakan akan beri imej buruk dan pada masa sama menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia dan Singapura.
"Polis Johor dan polis Singapura perlu bekerjasama melakukan siasatan sehingga suspek ditangkap dan didakwa," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Beliau berkata, polis perlu bertindak segera sebelum institusi raja menjadi mainan golongan tidak bertanggungjawab.
Suspek katanya, secara terang-terangan dan sengaja ingin mencetuskan isu perkauman dalam Malaysia dengan cuba melakukan provokasi menerusi video berkenaan.
"Suspek juga mewujudkan keadaan huru-hara dalam Malaysia dengan kenyataan-kenyataan yang tidak sopan dan tidak menghormati undang-undang serta Perlembagaan Malaysia," ujar beliau.
Katanya, Masia Johor mahu pihak polis dan Majlis Kehakiman Negara mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitamkan suspek daripada memasuki negara ini.
"Jika suspek adalah warga tempatan maka perlu dilucutkan kewarganegaraannya sebagai hukuman dan pengajaran kepada semua pihak.
"Jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk dikenakan ke atas mereka yang menghina institusi raja termasuk Yang di-Pertuan Agong, maka akta baharu harus dipinda atau dibentangkan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!