Rakyat Indonesia ‘berkampung’ di WTCKL
KUALA LUMPUR - Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini mula dipenuhi puluhan ribu rakyat Indonesia bagi melaksanakan undi awal sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rakyat negara jiran itu mula tiba di pusat pengundian berkenaan seawal jam 7.30 pagi.
Difahamkan, WTCKL yang merupakan salah satu daripada enam pusat pengundian awal dibuka di negara ini merekodkan seramai 222,945 pemilih.
Lima lagi pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia ialah di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching, Sarawak
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono sebelum ini dilapor menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat negara itu yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada Ahad.
Menurutnya proses pengundian Pemilu dan Pilpres Indonesia 2024 sering mendapat perhatian kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!