'Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar!' - Razali Idris

Razali, Fahmi Fadzil
Razali, Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menempelak tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang didakwa menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebarkan berita palsu.

Ia susulan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Razali berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merupakan figura berprinsip, dihormati, berintegriti, benar dan berani serta pernah memegang beberapa jawatan penting di negara ini.

“Muhyiddin ialah bekas perdana menteri, mantan timbalan perdana menteri dan menteri besar serta beberapa portfolio menteri Kabinet.

“Kamu siapa Fahmi? Sekadar berani atas kuasa menteri setahun jagung.

“Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar! Jangan semberono menuduh ikut sedap mulut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau mengulas respons Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang secara ringkas mengatakan ‘Muhyiddin sebar berita palsu’ menerusi hantaran di platform X pada Sabtu.

Razali yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal turut menambah, kenyataan tegas dan berani dalam mempertahankan hukum serta agama Islam tidak akan sesekali dibiarkan begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Fahmi sepatutnya dituduh dan bertanggungjawab tentang maklumat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang bocor serta disiarkan lebih awal oleh media Singapura.

Justeru, Razali dengan tegas mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu inkuiri atau tribunal dan memanggil Fahmi untuk menjawab tentang kebocoran rahsia negara.

“Jelas ini satu elemen kesalahan berkait rahsia besar negara. Menteri Komunikasi perlu bertanggungjawab dan melepaskan jawatan serta-merta,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!