Pemilu 2024: Ramai rakyat Indonesia di Tawau turun mengundi

Proses pengundian awal Pemilu 2024 berlangsung di Kompleks Sukan Tawau berjalan dengan lancar.
Proses pengundian awal Pemilu 2024 berlangsung di Kompleks Sukan Tawau berjalan dengan lancar.
A
A
A

TAWAU - Rakyat Indonesia yang berada di Tawau dan Lahad Datu keluar menunaikan tanggungjawab menerusi proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Panitia Pemilu Luar Negeri (PPLN) di Tawau, Iskandar Suksmadi, persiapan untuk menghadapi Pemilu sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu termasuk untuk pengumpulan data warga Indonesia yang bekerja di Tawau dan Lahad Datu.

"Pagi ini kita mengadakan pesta demokrasi iaitu Pemilu di mana kita telah mula membuat persiapan sejak September 2022 untuk mengumpul data warga Indonesia dan kemudian pendaftaran ditutup pada Julai 2023.

"Hasilnya terdapat seramai 59,442 warga Indonesia yang mendaftar sebagai pemilih tetap untuk Pemilu kali ini," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pengundian tersebut di sini.

Mengulas lanjut, Iskandar memaklumkan terdapat sebanyak 146 kotak undi juga diedarkan ke sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan ladang persendirian.

"Selepas ditutup semalam (Sabtu), semua kotak suara keliling sudah dikembalikan nanti tinggal dihitung pada 14 Februari.

"Sekarang kita belum tahu jumlahnya bagaimanapun kita mendapat laporan di Lahad Datu sebahagian besarnya kotak suara keliling kembali, semuanya turun mengundi," katanya.

Sehubungan itu, Iskandar menyifatkan proses pengundian yang berlangsung di daerah ini berjalan dengan lancar termasuk mendapat bantuan daripada pelbagai agensi di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini hajat kami, pesta besar, pesta demokrasi. Kita turut meminta bantuan daripada pelbagai agensi termasuk pihak polis dan Alhamdulillah kita mendapat sokongan.

"Kami berharap Pemilu kali ini jumlah pengundi lebih ramai melebihi daripada tahun 2019," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!