'Ramai tiada lesen memandu'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kesalahan tiada lesen memandu dikesan paling banyak direkodkan pada Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan sempena Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi itu dijalankan di Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Kuching bermula jam 10 malam.
Katanya, sebanyak 731 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Saman paling banyak ialah tiada lesen memandu iaitu 191 kes, tidak pamer pelakat L dan P (146 kes), tiada nombor pendaftaran (86 kes), nombor plat tidak ikut peraturan (74 kes) dan cukai jalan tamat tempoh (68 kes).
"Selebihnya lain-lain kesalahan antaranya ubah suai struktur kenderaan (10 kes), tidak ikat kemas topi keledar (15 kes) dan ubah suai ekzos (12)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur turut bertindak menyita 19 motosikal.
Katanya, selain itu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan sembilan notis di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Mengulas Op Samseng Jalanan, Sarifudin berkata, empat penunggang motosikal telah ditahan selepas dikesan melakukan aksi 'wheelie' dan 'superman', pada Ahad.
"Mereka yang ditahan berusia 19 hingga 23 tahun selain salah seorang daripadanya memiliki rekod lampau bersabit kes dadah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!