Pemilu 2024: Situasi panas, dua kumpulan penyokong cetus provokasi
KUALA LUMPUR – Proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 sedikit ‘panas’ susulan berlakunya provokasi dua kumpulan penyokong calon presiden.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedua-dua kumpulan penyokong itu dilihat membuat sorakan di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan membawa baju logo calon presiden pilihan masing-masing.
Tidak terhenti di situ, tindakan kedua-dua kumpulan penyokong itu turut mengganggu rakyat Indonesia lain yang beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi awal.
Difahamkan, pihak pengurusan WTCKL turut memaklumkan kepada pihak polis untuk memantau situasi berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono sebelum ini dilapor menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat negara itu yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada Ahad.
Menurutnya proses pengundian Pemilu dan Pilpres Indonesia 2024 sering mendapat perhatian kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!