Pemilu 2024: Tindakan agresif pengundi timbulkan kekecohan di WTCKL
KUALA LUMPUR - Tindakan agresif sekumpulan rakyat Indonesia untuk menunaikan tanggungjawab undi awal pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 menimbulkan sedikit kekecohan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Kekecohan itu bermula apabila pasukan keselamatan membuka laluan bagi membenarkan pengundi di barisan hadapan masuk, namun secara tiba-tiba berlaku kejadian tolak-menolak.
Keadaan itu menyebabkan beberapa penghadang laluan yang ditempatkan di laluan masuk terjatuh, namun keadaan kembali terkawal apabila pasukan keselamatan bertindak pantas.
Sementara itu, seorang pengundi yang ditemui, Dede Firman, 27, mendakwa keadaan tidak terkawal berlaku disebabkan hanya satu laluan masuk untuk pengundi dibuka.
Kata Dede yang berasal dari Sumatera itu, keadaan jauh berbeza dengan proses pengundian di negaranya kerana banyak saluran atau laluan dibuka untuk pengundi.
“Hari ini merupakan pengalaman pertama saya mengundi di Malaysia dan agak kesal prosesnya begitu lama kerana laluan yang dibuka hanya satu. Jadi saya harap perkara ini diberi perhatian oleh pihak kedutaan,” katanya.
Ditanya mengenai harapan terhadap pemilihan kepimpinan baharu di negaranya itu, dia mahukan seorang pemimpin yang bukan sahaja bijaksana tetapi dekat dengan rakyat.
Selain itu, kepimpinan baharu juga diharap dapat mengangkat ekonomi rakyat bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut.
Namun kata Irmohizam, pihaknya hanya menyediakan tempat serta mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan.
“Mengenai hanya satu laluan dibuka untuk pengundi memasuki WTCKL, itu memang perkara yang dibincangkan dengan Kedutaan Indonesia tempoh hari dan kita hanya mengikut apa yang diminta.
“Jika mereka ini beratur dan tidak berpusu-pusu, sebenarnya laluan yang dibuka itu sama seperti barisan dan mereka boleh memasuki,” katanya.
WTCKL merupakan salah satu daripada enam pusat pengundian awal yang dibuka di negara ini dengan merekodkan seramai 222,945 pemilih.
Lima lagi pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia ialah di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching, Sarawak.
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto; bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!