Undi pos masih relevan dilaksanakan - KPU

Hashim Asy’ari. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Hashim Asy’ari. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Undi pos bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia melibatkan pemilih luar negara masih lagi relevan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Hashim Asy’ari berkata, terdapat beberapa prosedur yang boleh dibaiki bagi menambah baik sistem sedia ada.

“KPU sedang meneliti (dakwaan kertas undi pos) di Kuala Lumpur (telah ditanda) dan kalau memang betul dapat kertas undi itu ditemukan, sudah tentu ia dianggap sebagai undi rosak.

“(Sistem undi pos) masih layak (dilaksanakan). Tetapi tetap harus disahkan dari segi nama, alamat dan sebagainya barulah mereka diberikan kertas undi.

“Namun, apa pun undi pos masih (relevan) dan dipertahankan tetapi prosesnya (boleh) diperbaiki,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada undi pos bagi pemilih luar negara masih relevan atau sebaliknya dilaksanakan susulan terdapat kertas undi yang telah ditanda.

Pemilu dan Pilpres Indonesia 2019 lalu menyaksikan wujud kes kertas undi bagi pemilih luar negara yang menetap di Malaysia telah ditebuk hingga mencetuskan pelbagai kontroversi.

Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!