Tiga beradik ditahan proses air ketum
DUNGUN - Lima lelaki termasuk tiga beradik ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan memproses air ketum di sebuah rumah di Paka, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu semua suspek berusia antara 14 hingga 24 tahun itu berada di ruang tamu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui menemui sepuluh peket plastik cerah berisi cecair kehijauan dipercayai air ketum.
"Selain itu, turut ditemui pelbagai peralatan seperti periuk besar, tong gas, gelung getah dan penapis yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 24 tahun mengaku air ketum berkenaan miliknya dan memaklumkan dia memperoleh bahan itu dari Kelantan sebelum diproses di rumah berkenaan. Air ketum itu dijual pada harga RM10 di sekitar Paka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati hanya suspek berusia 14 tahun negatif dadah manakala empat lagi termasuk dua abangnya positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!