Wanita maut, Toyota Hilux jatuh gaung
HULU SELANGOR - Seorang wanita maut manakala empat lagi individu cedera setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Batang Kali di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.28 petang.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan kesemua mangsa terlibat telah berjaya dikeluarkan anggota bomba bertugas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang wanita tempatan berumur 58 tahun.
"Mangsa dipercayai tersepit di bahagian tempat duduk dalam kenderaan terbabit.
"Bagaimanapun, identiti empat lagi mangsa terlibat dan mengalami kecederaan masih belum dikenal pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!