Kembalikan kredibiliti, integriti PDRM
SEMASA berucap pada Perhimpunan Bulanan Anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah menyentuh isu pelanggaran tatatertib melibatkan warga pasukan yang telah mencalarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Razarudin berkata, kejadian yang berlaku telah menconteng arang ke muka PDRM, merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
Antara yang disebut ialah kes seorang pegawai kanan polis yang melanggar pelajar sekolah hingga maut di Perak, ketua polis balai disiasat kerana melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di Johor dan dua anggota ditahan kerana terlibat dalam kes samun, rogol pelajar perempuan warga asing dalam kereta peronda (MPV) di Selangor.
Kes-kes yang disebut itu adalah antara yang menjadi tumpuan masyarakat sehingga ada yang mula mempertikaikan kredibiliti dan integriti pegawai dan anggota PDRM.
PDRM yang sepatutnya menjadi tempat pergantungan masyarakat kini dipandang serong disebabkan tindakan segelintir pegawai dan anggota yang tidak bertanggungjawab.
Ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga, itulah yang terjadi di dalam PDRM. Kerana seorang dua punya angkara, seluruh warga PDRM mendapat tempiasnya.
Masyarakat juga tidak harus dipersalahkan jika rasa hormat mereka makin luntur kerana kes-kes yang berlaku makin menjadi-jadi. Perkara yang berlaku jika dibiarkan tanpa suatu tindakan yang benar-benar tegas sudah pasti akan menjadi barah dalam badan pasukan beruniform itu.
Oleh itu tindakan Ketua Polis Negara untuk membersihkan arang di muka PDRM amat wajar dilakukan dengan lebih agresif dan perlu dilaksanakan di semua peringkat secara menyeluruh.
Ia perlu disokong semua peringkat dalam PDRM supaya tiada lagi yang berani untuk membuat onar dalam pasukan kerana akan berhadapan dengan tindakan lebih tegas.
Peringatan beliau juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius.
"Sesungguhnya, integriti kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan.Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan selain elak terjebak melakukan kemungkaran sekali gus mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!