Rumah warisan 88 tahun dibina tanpa paku masih teguh

Seni bina masyarakat Melayu Kampar dipasak tanpa menggunakan paku.
Seni bina masyarakat Melayu Kampar dipasak tanpa menggunakan paku.
A
A
A

TEMERLOH - Setiap kali melewati Jalan Temerloh-Mentakab dekat Batu 1 di sini, pandangan pasti tertarik dengan keunikan sebuah rumah tradisional yang sarat dengan ciri tradisional masyarakat Melayu Kampar yang berasal dari Riau, Sumatera.

Suku Kampar banyak menetap sekitar di daerah ini seperti di Mentakab,Temerloh, Kerdau, Kuala Krau selain beberapa daerah lain antaranya di Kuantan serta Pekan selain boleh ditemui di Selangor dan Perak.

Keunikan rumah ini yang dikenali sebagai 'Rumah Warisan Tok Taib dan Nayan' kini berusia 88 tahun dipasak menggunakan kayu cengal, merbau tanpa menggunakan paku itu tular di media sosial baru-baru ini.

Terletak di Kampung Chengal di sini, rumah tersebut yang terletak di jalan utama itu kini didiami generasi ketiga dan keempat keluarga terbabit.

Anisah (kanan) bersama adik-adiknya, Idham dan Samira, 50, bersama gambar rumah tersebut yang menjadi sejarah peninggalan berharga buat generasi keluarga tersebut.
Anisah (kanan) bersama adik-adiknya, Idham dan Samira, 50, bersama gambar rumah tersebut yang menjadi sejarah peninggalan berharga buat generasi keluarga tersebut.

Cucu Tok Taib, Anisah Ramli, 62 memberitahu, rumah itu dibina oleh arwah datuknya, Taib Abdullah pada 1936 sebelum meninggal dunia enam tahun kemudian dan diwarisi oleh ayahnya, Ramli Taib.

Menurutnya, arwah datuknya yang berasal dari Kampung Sepunggok, Salor, Bangkinang, Sumatera juga antara pengasas kampung tersebut.

"Seperti yang pernah diceritakan, arwah datuk sendiri menebang kayu-kayu sendiri di hutan Kampung Tualang untuk membuat tiang kayu rumah ini.

Artikel Berkaitan:

"Arwah kemudiannya menggunakan kerbau untuk membawa kayu tersebut ke tapak pembinaan dan proses pemotongan serta pembentukan kayu dilakukan secara manual," ujar anak ke-4 daripada sembilan adik beradik itu.

Jelas Anisah, sebanyak 12 tiang didirikan dan kekerasan kayu itu dapat dilihat apabila diketuk menggunakan paku akan mengeluarkan percikan api.

Terletak di atas bukit, rumah itu yang kini didiami adik ke-8, Idham Khalid Ramli,47 bersama isterinya, Rusnita Abdullah, 42 serta tiga anak mereka.

Jelasnya, rumah itu juga terselamat ketika banjir besar melanda Pahang pada 1971 serta beberapa siri banjir sebelum ini.

"Paras air hanya pada di bawah lantai ketika itu dan sering kali rumah ini juga menempatkan mangsa banjir sekitar kampung ini.

"Keunikan rumah ini juga sentiasa sejuk walaupun ketika cuaca panas dan kalau dulu memang tidak perlu guna penyaman udara," tambahnya ayahnya Ramli meninggal dunia pada 1995 diikuti ibunya, Halijah Tasir pada 2007.

Antara generasi ketiga dan keempat bergambar kenangan di hadapan rumah tersebut.
Antara generasi ketiga dan keempat bergambar kenangan di hadapan rumah tersebut.

Tambahnya, arwah ayahnya, Ramli juga memiliki sejarah tersendiri iaitu antara tahun 1951 hingga 1955, ditahan dan dikepung di kem tahanan kerana aktiviti anti-British dan menghabiskan empat tahun dalam tahanan bersama tokoh-tokoh terkenal seperti Pak Sako, Boestamam, dan Jaapar Hussein.

"Satu peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan rumah ini adalah kunjungan Pak Boestamam dari Kuala Lumpur untuk merayu kepada ayah agar tidak keluar daripada organisasi sosialis kerana merupakan salah seorang pengasas selepas dibebaskan daripada tahanan.

"Selain itu, rumah ini juga menjadi tempat latihan orkestra Hiburan Kesuma dan Parti Hiburan, di mana penyanyi wanita seperti Datin Rudiah dan Cikgu Hamidah turut berlatih," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anisah dan keluarganya mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi tujuan pemuliharaan rumah tersebut yang disifatkan menjadi tarikan di Temerloh.

Sementara itu, Idham yang juga seorang jurujual memberitahu beberapa pengubahsuaian terhadap rumah tersebut telah dilakukan beberapa kali dan terakhir pada 1996.

Ujarnya, beberapa pelajar jurusan seni bina daripada beberapa institusi pengajian tinggi telah datang ke rumah tersebut membuat kajian mereka.

"Kali terakhir pada 2008, pelajar dari Politeknik Kuantan meluangkan masa beberapa bulan untuk membuat kajian terhadap rumah ini.

"Memang ada yang ingat rumah ini tidak dihuni dan ada juga yang datang mengambil gambar kerana tertarik dengan seni bina rumah ini," jelas bapa kepada tiga anak perempuan berusia 18,15 dan 12 tahun itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!