Pacuan empat roda hilang kawalan sebelum terbabas jatuh gaung

Pacuan empat roda dinaiki lima mangsa itu dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Jalan Batang Kali pada Ahad.
Pacuan empat roda dinaiki lima mangsa itu dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Jalan Batang Kali pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang jatuh ke dalam gaung Jalan Batang Kali, di sini pada Ahad dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu melibatkan lima mangsa berumur antara 29 hingga 62 tahun.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari sebuah resort di Dusun Tara, Ladang Batang Kali menuju ke Rawang.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam cerun bukit ketinggian kira-kira 16 meter itu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

"Pemandu dan tiga lagi penumpang kenderaan pacuan empat roda itu yang mengalami kecederaan dibawa menerima rawatan di Hospital Selayang," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!