Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah berada di PPS
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mangsa kebakaran di tingkat 17, blok 70 Flat Sri Sabah, dekat sini pada Ahad telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras.
Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abd Wahab berkata, kesemua 16 ahli keluarga yang terlibat dalam kebakaran itu telah ditempatkan di SK Seri Cheras sekitar jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah perbincangan dilakukan pihak persatuan penduduk bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Guru Besar SK Seri Cheras.
"Pada mulanya kita ingin menempatkan mangsa di Blok 66, namun kawasan tersebut agak sempit.
"Akhirnya kita putuskan untuk menempatkan kesemua mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Seri Cheras.
"Sebanyak 16 mangsa daripada lima keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran ini berada di PPS," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pada Isnin mendapati anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas DBKL berada di flat tersebut.
Anggota PDRM turut mengawal laluan masuk ke tingkat atas flat tersebut yang terbakar kira-kira jam 9.30 malam.
DBKL dilihat turut menghantar bantuan tangki air besar ke lokasi kejadian awal pagi Isnin.
Sinar Harian difahamkan berlaku kejadian bekalan air terputus di flat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!