Beli baju ala Bollywood tapi dapat selipar Jepun RM2

Shures menunjukkan selipar Jepun yang diterima isterinya selepas mendakwa ditipu penjual dalam talian.
Shures menunjukkan selipar Jepun yang diterima isterinya selepas mendakwa ditipu penjual dalam talian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Beli baju ala Bollywood tetapi dapat selipar Jepun berharga RM2. Itu yang berlaku kepada seorang suri rumah di Taman Johor Jaya, di sini apabila ditipu peniaga sebuah platform e-dagang.

P Shures, 43, berkata, isterinya menerima satu kotak bungkusan pada petang Ahad selepas membelinya pada 7 Februari lalu tetapi mula curiga apabila mendapati isi kandungannya kecil, nipis dan ringan.

"Selalunya penjual baju menggunakan bungkusan plastik untuk pakaian namun kali ini isteri saya yang pernah membeli baju secara dalam talian menerima bungkusan kotak.

"Apabila dibuka, kami terkejut kerana ia bukan baju tradisional fesyen Bollywood yang dibeli, sebaliknya hanya selipar Jepun dipercayai berharga RM2," katanya ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Kata penyelaras logistik itu, isterinya tertarik untuk membeli pakaian berserta selendang itu selepas penjual berkenaan mengiklankannya yang dikategorikan 'best sellers' termasuk semua pakaian tradisional India, Melayu, Cina serta kanak-kanak dengan harga RM30.

Mulanya kata Shures, isterinya pelik kerana tawarannya sangat murah namun menyangka ia mungkin jualan penghabisan stok hujung tahun.

Katanya, sebelum membuat pembelian isterinya juga yakin kerana dalam media sosial syarikat terbabit ada mencatatkan bilangan pembeli yang telah membeli pakaian mereka.

"Namun yang peliknya tiada ulasan dipaparkan walaupun tercatat bilangan pembeli. Mungkin ini taktik penjual berkenaan yang dipercayai 'scammer' bagi meyakinkan dan mengaburi mata pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Isteri saya pulangkan semula selipar itu kepada penghantar barang dan berharap pengurusan platform terbabit melakukan tapisan peniaga sebelum memberi kebenaran untuk beroperasi," ujarnya.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi platform e-dagang berkenaan malah turut mengakibatkan pelanggan tertipu.

"Diharap penjual berkenaan disenarai hitam supaya tidak kembali beroperasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!