Pelajar OKU maut motosikal bertembung kereta
MELAKA - Seorang pelajar sekolah yang juga orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Klebang Besar dekat sini pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa Muhammad Faizal Yahaya, 17, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dalam kejadian jam 2.25 pagi manakala pemandu kereta tidak cedera.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa OKU pembelajaran itu dalam perjalanan dari arah Klebang menghala ke Batang Tiga.
"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangnya dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki berusia 35 tahun di laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baharu itu telah dibawa Unit Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
"Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dan notis Pol.61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!