Gagal raih tiket ke Sukan Olimpik Paris, Pandelela mohon maaf

Ratu terjun negara, Pandelela memohon maaf di atas kegagalannya meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat kali kelima. Foto Facebook Pandelela Rinong
Ratu terjun negara, Pandelela memohon maaf di atas kegagalannya meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat kali kelima. Foto Facebook Pandelela Rinong
A
A
A

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong memohon maaf di atas kegagalannya meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat kali kelima.

Atlet yang bakal menginjak usia 31 tahun bulan depan itu akan menjadikan kegagalan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu sebagai pengajaran berguna.

“Walaupun saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi Kejohanan Dunia Doha... baik dan buruknya, saya akan mengambil ia sebagai pengajaran untuk melangkah (lebih baik) di masa akan datang.

“Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan semua dalam perjalanan saya pada kelayakan Olimpik ini dan maafkan saya kerana tidak dapat menunaikan janji kali ini,” catat Pandelela menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Pandelela yang merupakan atlet dalam program Road To Gold (RTG) terlepas peluang ke Paris 2024 apabila terkandas pada pusingan kelayakan di Doha dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu.

Dia sekadar menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 peserta selain turut gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri setelah menamatkan aksi final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.

Penerjun kelahiran Sarawak itu bagaimanapun belum mahu mengibar bendera putih, sebaliknya tekad bangkit lebih kuat selepas ini.

“Begitupun, saya akan terus berusaha dan bangkit semula pada kejohanan akan datang kerana saya belum lagi selesai (dalam perjuangan) dan akan terus yakin dengan perancangan Tuhan,” ujar Pandelela.

Artikel Berkaitan:

Pandelela membuat debut pada Sukan Olimpik bermula di Beijing 2008 ketika berusia 15 tahun, ia disusuli dengan penyertaan di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pada edisi London 2012, dia memahat sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat gangsa menerusi acara 10m platform individu.

Empat tahun kemudian di Rio 2016, Pandelela bersama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama wanita.

Kegagalannya layak beraksi di Paris menyaksikan ia turut gagal menyamai rekod dipegang bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee yang menjadi atlet tunggal negara membuat lima penampilan Olimpik.

Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!