Lelaki tular pandu kereta melulu ditahan
KEMAMAN - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memandu kereta secara melulu dan berbahaya di Jalan Air Putih, Chukai di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada jam 12 tengah hari Isnin.
"Tular sebuah video di media sosial mengenai kejadian tersebut dipercayai berlaku di jambatan berdekatan Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih, Chukai dekat sini yang berlaku jam 8.15 pagi pada 8 Februari lalu.
"Satu laporan polis telah dibuat dan lelaki tempatan itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Hanyan berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Kemaman pada pagi Selasa.
Sebelum ini terdapat satu rakaman 'dashcam' tular di media sosial yang dimuat naik memaparkan sebuah kereta jenis Volkswagen dipandu secara melulu dan berbahaya.
Malah tindakan memotong ketika terdapat sebuah kereta dari arah bertentangan melalui kawasan tersebut hampir menyebabkan kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!