[VIDEO] Hakisan sungai: Lapan beranak 'berhimpit' tidur di ruang tamu
KUALA KRAI - Lapan beranak di Kampung Baru, Sungai Kenor, Guchil Luar di sini terpaksa 'berhimpit' di ruang tamu untuk tidur apabila rumah yang didiami mereka hampir roboh akibat hakisan sungai sejak Disember lalu.
Situasi itu menyebabkan keluarga tersebut terpaksa 'tidur-tidur ayam' memikirkan rekahan yang berlaku setiap hari dan hanya menunggu masa 'ditelan' hakisan.
Nurani Samsudin, 37, berkata, sejak itu dia buntu memikirkan nasib keluarganya kerana rumah berusia 20 tahun itu adalah peninggalan keluarganya selepas kematian suami tujuh tahun lalu.
"Rumah ini dibina di atas rizab sungai dan hanya ini sahaja pilihan yang kami ada.
"Selepas suami meninggal akibat penyakit kanser otak, jantung berlubang dan paru-paru berair, saya dan enam anak hanya mampu bertahan hidup dengan bantuan bulanan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM600 selain menjadi pembantu kantin sekolah dengan bayaran RM40 sehari," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurutnya, disebabkan kemiskinan hidup, anak sulung serta keduanya terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 14 tahun.
Ujarnya, anak perempuan sulung kini berusia 20 tahun dan telah berumah tangga manakala anak lelaki keduanya (19 tahun) bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran.
Nurani memberitahu, dia baharu mendirikan rumah tangga dua tahun lalu dan kini mempunyai seorang bayi perempuan berusia 11 bulan.
"Suami sekarang, hanya bekerja di tempat belian getah dengan gaji bulanan RM900.
"Dengan pendapatan tersebut tidak cukup untuk kami gunakan bagi membaiki kerosakan rumah yang diakibatkan oleh hakisan sungai pada musim tengkujuh lalu," katanya.
Tambahnya, sebelum ini ruang tamu yang sedia ada tidak cukup untuk menempatkan mereka lapan beranak.
Nurani memberitahu, mujurlah ada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menambah binaan ruang tamu dengan memberi bantuan batu serta simen.
"Selebihnya dari segi binaan ibu saya berusia 64 tahun, Hamidah G dibantu adik lelaki yang siapkan.
"Walaupun sudah berusia ibu sanggup bersusah payah membina ruangan tambahan ini bagi memastikan cucu-cucunya dapat hidup serta tidur dengan selesa," katanya.
Ujar ibu kepada tujuh orang anak ini, mereka hanya memerlukan bajet sekitar RM10,000 sahaja untuk membaiki bahagian rumah yang retak serta roboh akibat hakisan tersebut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03-090-02-043772-4 Nurani Samsuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!