IMFC bakal tarik ramai pelabur - Onn Hafiz
JOHOR BAHRU – Pembinaan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di sini dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelabur baharu melabur di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pembinaan, pusat fasiliti sehenti tersebut merupakan kerjasama di antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerajaan negeri.
Malah katanya, dalam pertemuan dengan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, turut dimaklumkan bahawa Johor bakal mewujudkan satu pusat fasilitasi pelaburan.
“Kerjasama ini dan pembinaan IMFC dilihat mampu menjadi 'game changer' serta pemangkin kepada peningkatan ekonomi Johor.
“Malah ia (IMFC) ini adalah yang pertama dalam negara kerana semua agensi Persekutuan dan juga negeri seperti di Kuala Lumpur, memang sudah diwujudkan tetapi tiada kolaborasi dengan kerajaan negeri itu sendiri,” katanya.
"It's one of it's kind..dan kerjasama khas ini dan kita sasar tahun ini akan siap... jadi ia akan memudahkan pelabur-pelabur masuk seperti yang disebut pada pengumuman kerjasama Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang pada Isnin.
Mengulas mengenai konsep Johor Fast Lane, Onn Hafiz berkata, konsep itu secara keseluruhannya bertujuan untuk meminumkan karenah birokrasi yang sering berlaku ketika berurus niaga.
Malah katanya, dengan berkurangnya karenah birokrasi, ia dilihat dapat membantu memudahkan lagi kemasukan pelabur ke negeri ini.
“Mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan memudahkan pelabur menubuhkan perniagaan, turut menjadi faktor pelabur untuk melabur di negara ini.
“Selain itu Johor Fast Lane juga telah mampu menarik 30 pelabur ke Johor khususnya ke empat PBT (pihak berkuasa tempatan), dimulai dengan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) tahun lalu.
“Konsep itu bermula melalui pihak MPKu, namun ia masih sebelum diperluaskan kepada PBT lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!