Zainal pacu skuad 'Dare to Dream' ke England

Zainal Abidin bersama barisan 12 pemain skuad Dare To Dream yang akan menjalani latihan bersama barisan kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers FC,
Zainal Abidin bersama barisan 12 pemain skuad Dare To Dream yang akan menjalani latihan bersama barisan kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers FC,
A
A
A

LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dilantik selaku Ketua Delegasi program 'Dare to Dream' yang akan mengetuai 12 pemain menjalani latihan bersama barisan kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers FC.

Kesemua pemain tersebut terdiri daripada pemain yang beraksi dalam saingan MBSB Bank Championship 2023 termasuk dua pemain UiTM United yang menjulang Piala Al-Ikhsan musim lalu.

Delegasi ini akan berkampung di Compton Park, England bermula 19 hingga 26 Februari untuk menimba pengalaman bersama kelab yang kini beraksi dipentas Liga Perdana Inggeris 2023/24(EPL).

Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, pemilihan Zainal Abidin adalah tepat berdasarkan pengalaman yang ada pada dirinya selaku bekas pemain dan juga jurulatih.

“Memang tidak dinafikan Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan pilihan terbaik untuk mengetuai misi 'Dare to Dream' ”.

“Berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan status sebagai lagenda bola sepak tanah air sudah pasti memberikan suntikan semangat yang terbaik untuk pemain-pemain. Beliau juga sebelum ini pernah berkelana di sana (United Kingdom) selama enam bulan bersama Cardiff City untuk menimba pengalaman sebagai jurulatih.

“Kami mahukan 12 pemain yang terpilih memanfaatkan sepenuhnya pengalaman menerima bimbingan dari legenda bola sepak negara ini pada sesi latihan yang diadakan bermula 10 hingga 12 Februari di Wisma FAM, Petaling Jaya," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, dia tidak mahu 12 pemain yang mengalas cabaran kali ini dilihat sebagai penumpang dan juga pelancong makan angin sepanjang tempoh berada disana.

Artikel Berkaitan:

“Peluang yang anda semua miliki tidak mampu dinilai dengan wang ringgit semata-mata dan tidak ditawarkan kepada pemain-pemain dalam saingan liga yang lebih tinggi ketika ini.

“Inilah peluang terbaik buat seorang pemain untuk meningkatkan mutu permainan dan tidak mustahil bakat anda akan menarik minat pasukan-pasukan di luar mahupun di dalam negara,” katanya ditemui pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM, hari ini.

Untuk rekod, seramai 40 pemain MBSB Bank Championship 2023 telah hadir sesi pemilihan untuk mencari 12 pemain yang akan menjalani latihan bersama pasukan Wolverhampton Wanderes FC (Wolves) di Compton Park Training Ground, England.

Sesi penilaian diadakan pada sebelah pagi dan petang yang dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, Jurulatih Bola Sepak & Pendidikan Wolves, Ryan Griffiths dan Jurulatih Pembangunan Bola Sepak Wolves, Cody Harper.

Senarai 12 pemain yang terpilih menyertai “Dare To Dream”

1 - Muhamad Ikmal Mohd Idris (KL Rovers / Penyerang)

2 - Muhamad Rafie Mat Yaacob (KL Rovers / Penyerang)

3 - Muhamad Rafie Kamaruzzaman (Imigresen FC / Pertahanan)

4 - Muhammad Hazim Abu Zaid (Imigresen FC / Pemain Tengah)

5 - Izzat Abd. Rahim (PIB Shah Alam FC / Penjaga Gol)

6 - Shahrul Igwan Samsudin (PIB Shah Alam FC / Pertahanan)

7 - Muhamad Aizat Safuan Razali (Manjung City FC / Pemain Tengah)

8 - Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC / Pertahanan)

9 - Muhammad Darwisy Abdullah (Malaysian University / Pemain Tengah)

10 - Muhammad Fathullah Fazilisham (Naga Ultimate KS FC / Pemain Tengah)

11 - Pengiran Mohamad Ilham (UiTM United / Pertahanan)

12 - Zikry Bin Mohd Hafis (UiTM United / Pemain Tengah)

Caption: Zainal Abidin bersama skuad Dare to Dream

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!