Dua pelajar SBJK capai impian ke menara gading

Pelajar-pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ketika sesi pembelajaran di SBJK baru-baru ini. Foto Bernama
Pelajar-pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ketika sesi pembelajaran di SBJK baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah ‘membuka jalan’ kepada mereka untuk diterima ke mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Namun, semangat untuk menoktahkan rantaian kemiskinan yang ‘diwarisi’ keluarga sekali gus keluar daripada kehidupan di lorong gelap seakan terhenti tatkala mengisi borang permohonan kemasukan ke IPTA secara dalam talian yang antara lain meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Hampir berputus asa, Puteri Nur Arissa Mohd Noor, 21, bekas pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit tidak menyangka polemik yang sekian lama membelenggu komuniti jalanan dengan pelbagai episod suram berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri, turut memberi kesan kepada dirinya dalam usaha menggapai impian menjadi pendidik.

Ketiadaan kad pengenalan hampir menamatkan impian anak keempat daripada lima beradik ini untuk menyambung pelajaran ke menara gading, hinggalah apabila pihak SBJK bersama Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 30 September lepas.

Pegawai Kaunseling Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Najemiah Azlin Mohd Tahir memantau sesi pembelajaran salah seorang muridnya ketika ditemui di SJBK baru-baru ini. Foto Bernama
Pegawai Kaunseling Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Najemiah Azlin Mohd Tahir memantau sesi pembelajaran salah seorang muridnya ketika ditemui di SJBK baru-baru ini. Foto Bernama

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan semua peluang ini...Walaupun jalannya (menuntut iImu) sukar bermula daripada PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) SPM dan STPM, saya gembira apabila akhirnya berjaya juga menjejakkan kaki ke menara gading.

"Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus mengejar cita-cita dan semua kejayaan ini bukan untuk diri sendiri sebaliknya untuk semua yang membantu terutama warga SBJK yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri,” katanya kepada Bernama.

Mengharapkan masalah dokumen pengenalan dirinya dapat diselesaikan dengan segera, dia berkata, kejayaan melanjutkan pelajaran ke UKM diharap dapat dijadikan contoh kepada kanak-kanak jalanan lain agar mereka tidak mudah berputus asa dan terus memasang impian keluar daripada kehidupan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan Puteri Umira Abdul Razak, 21, yang mengakui kehidupannya selama ini bagaikan ‘pelarian’ dan sentiasa diselubungi ketakutan ditangkap pihak berkuasa kerana tiada dokumen pengenalan diri sebelum memperoleh MyKad pada 2022.

"Alhamdulillah kini semuanya sudah selesai...dengan adanya dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran dan MyKad saya dapat bergerak ‘bebas’ tanpa ragu-ragu.

"Saya sangat menghargai bantuan semua pihak khususnya SBJK, tempat saya belajar walaupun tanpa dokumen ketika itu,” katanya yang memperoleh dokumen tersebut ketika berada di Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya, Cheras.

Anak keempat daripada lima beradik ini yang kini menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, sama seperti Puteri Nur Arissa ingin menjadi pendidik sebaik tamat pengajian bagi memperjuangkan nasib kanak-kanak jalanan.

Sementara itu, Pengetua SBJK Zamzuri Abdullah berkata, sejak sekolah itu ditubuhkan pada 2013, tiga pelajarnya telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dua di Tingkatan Enam, manakala dua lagi berjaya menjadi usahawan, selain sebahagian lagi mendapat latihan di kolej komuniti dan menjadi guru tadika.

Pelajar sekolah berkenaan juga mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila keputusan peperiksaan SPM meningkat daripada 67 peratus kepada 82 peratus, malah pada peperiksaan SPM 2022 kesemua lapan calon SBJK memperoleh keputusan membanggakan iaitu 100 peratus berjaya layak mendapat sijil SPM.

Kejayaan itu membuktikan bahawa komuniti yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu juga mampu berjaya sekiranya diberi akses pendidikan sama seperti kanak kanak lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!