10 lokasi lereng sungai, jalan berisiko runtuh

Abdul Hadi (kanan) dan Wan Azman (kiri) menunjukkan kesan-kesan runtuhan tebing. Foto Sinar Harian
Abdul Hadi (kanan) dan Wan Azman (kiri) menunjukkan kesan-kesan runtuhan tebing. Foto Sinar Harian
A
A
A

JELI - Hampir 10 lokasi melibatkan lereng sungai dan jalan di Kuala Balah dekat sini dikesan berisiko runtuh terutama ketika hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, lokasi-lokasi itu antaranya di Kampung Bukit Selar, Lubok Bonggor, Kubur Datuk, Jerimbong dan Janggut Seberang.

Menurutnya, risiko tersebut sudah lama berlaku dan semakin ketara ketika musim tengkujuh baru-baru ini hingga menyebabkan ada rumah penduduk rosak.

“Misalnya di Lubuk Bonggor, ada empat rumah penduduk yang perlu dibaiki kesan daripada runtuhan lereng.


Runtuhan tebing di Kampung Seberang Janggut.
Runtuhan tebing di Kampung Seberang Janggut.

“Kami dalam proses membaiki rumah itu dan akan memantau kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Keraian Petugas Sukarelawan dari agensi kerajaan yang terlibat menangani krisis tanah runtuh Lata Janggut Seberang pada Isnin.

Turut hadir, Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Hadi berharap pihak kerajaan dapat menyalurkan peruntukan khas bagi perancangan jangka panjang untuk kawasan-kawasan yang berisiko tersebut.


Abdul Hadi (kanan) dan Wan Azman (kiri) berada di jalan konkrit yang dibina di Kampung Seberang Janggut.
Abdul Hadi (kanan) dan Wan Azman (kiri) berada di jalan konkrit yang dibina di Kampung Seberang Janggut.

Tambahnya, projek selenggara tebing runtuh di Kampung Janggut Seberang sudah siap hampir 60 peratus merangkumi jalan konkrit sejauh 130 meter.

“Runtuhan tebing ini berlaku pada 29 Disember tahun lalu sewaktu musim tengkujuh sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk terputus hubungan.

“Kerja-kerja baik pulih jalan ini dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!