Kebakaran Flat Sri Sabah: Unit K9, dron JBPM bantu siasatan

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di Flat Sri Sabah, Cheras, dekat sini sekitar 10.30 pagi Isnin bagi menjalankan siasatan berhubung kebakaran yang berlaku pada malam Ahad.

Dua ekor anjing pengesan (K9) milik JBPM iaitu Jim dan Woody turut digunakan bagi membantu siasatan kebakaran enam buah unit rumah di tingkat 17 flat tersebut jam 9.30 malam.

Selain Unit K9, JBPM turut menggunakan tiga unit dron untuk menjalankan siasatan dan membuat tinjauan dari udara.

JBPM mengesahkan lima buah rumah musnah 85 peratus sehingga 97 peratus, manakala satu unit rumah lagi berjaya diselamatkan.

Api berjaya dipadamkan oleh pihak JBPM jam 11.22 malam Ahad dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian kebakaran di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah tersebut.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kebakaran itu jam 9.19 malam.

Dalam tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Isnin, sepasukan anggota polis membuat kawalan di tingkat 17 yang terlibat dengan kebakaran dan di lokasi kejadian, sementara anggota petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut membantu pengoperasian siasatan dijalankan.

Kejadian kebakaran yang berlaku di tingkat paling atas flat tersebut turut menyebabkan tangki air di blok itu mengalami gangguan dan menjejaskan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan mendapati ramai penduduk berulang alik mengambil air daripada lori tangki DBKL dan dua tangki besar yang disediakan pihak DBKL di bahagian bawah blok berkenaan untuk kegunaan sementara penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!