Selangor tuai hasil kedua jagung bijirin kualiti tinggi

Mohamad Khairil (dua dari kiri) ketika mengiringi Izham (tengah) yang melawat tapak projek tanaman itu bagi melihat hasil tuaian pertama sebelum ini.
Mohamad Khairil (dua dari kiri) ketika mengiringi Izham (tengah) yang melawat tapak projek tanaman itu bagi melihat hasil tuaian pertama sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menuai hasil kedua projek jagung bijirin berkualiti tinggi bermula Februari sehingga Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, hasil tuaian itu akan memenuhi permintaan penternak kecil dan pemain industri memandangkan harga ditawarkan lebih rendah berbanding import.

"Kerja tuaian fasa kedua ladang jagung bijirin milik PKPS berjalan sejak awal bulan ini secara berperingkat melibatkan keluasan tanaman hampir lapan hektar.

“Proses bermula 5 Februari lalu, seterusnya Rabu ini dan 3 serta 23 Mac depan. Kita akan memastikan proses berjalan lancar agar urusan pembekalan menjadi lebih mudah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, PKPS berjaya mencatatkan hasil tuaian pertama sebanyak 118 tan menerusi projek jagung bijirin berkualiti tinggi yang dilancarkan di negeri itu pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim dilaporkan berkata, tuaian di kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar itu adalah bagi fasa pertama dan dijangka hasil jagung bijirin itu terus meningkat.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Khairil berkata, melihat kepada permintaan dan kesesuaian projek tanaman tersebut ia akan diperluas pada tahun ini sehingga awal 2025 bagi memastikan tanah seluas 121 hektar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!