Ancaman perang Israel-Lubnan pula?

Serangan rentas sempadan Tel Aviv-Beirut terus meningkat sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu. - Foto: Agensi
Serangan rentas sempadan Tel Aviv-Beirut terus meningkat sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Konflik di Asia Barat dikhuatiri memasuki fasa baharu lebih dahsyat selepas rejim Zionis didakwa memindahkan divisyen terbesar mereka dari Genting Gaza ke kawasan bersempadan Lubnan pada Ahad.

Keputusan itu dibuat Ketua Turus Am Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Herzi Halevi melibatkan Divisyen ke-36, sehari selepas pejuang Hizbullah melancarkan serangan balas terbaharu ke atas kemudahan Israel.

Media tempatan melaporkan Mejar Jeneral, Yaron Finkelman yang mengetuai operasi di Gaza pada mulanya meminta kedudukan divisyen itu dikekalkan di bahagian tengah enklaf berkenaan kononnya untuk memberi tekanan kepada gerakan Hamas.

“Tetapi, Ketua Operasi Divisyen itu, Mejar Jeneral, Oded Basyuk pula mencadangkan pemindahan anggota mereka ke bahagian utara atas alasan untuk menggantikan pasukan simpanan di sana.

“Halevi bagaimanapun menolak kedua-dua cadangan berkenaan dan mengerahkan Divisyen ke-36 ke sempadan Beirut,” jelas laporan itu lagi tanpa memberikan butiran lanjut tentang jangka masa proses pemindahan tersebut.

Difahamkan, perkembangan terbaharu konflik di rantau itu berlaku sehari selepas pegawai berpangkat tinggi Hamas terselamat cubaan bunuh dilancarkan rejim Zionis di selatan Lubnan.

National News Agency berpusat di Beirut melaporkan sebuah dron menyasarkan kereta dinaiki Bassel Saleh di bandar Jadra terletak di selatan ibu kota pada Sabtu.

Serangan dron kedua di lokasi sama bagaimanapun mengorbankan tiga individu termasuk seorang pejuang Hizbullah.

Artikel Berkaitan:

Sebagai respons, kumpulan pejuang berkenaan bertindak melancarkan salvo roket ke berek Branit yang menjadi ibu pejabat Divisyen Galilee di utara Israel. - Agensi