Dua rumah, jentolak dan dua kereta musnah terbakar
NILAI - Sebuah jentera berat jenis jentolak (JCB), dua kereta hangus dalam kebakaran membabitkan dua kediaman separuh kekal di Kampung Baru Nilai di sini pada lewat petang Isnin.
Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Mantin dikejarkan ke lokasi.
"Maklumat dari Komander Ops Kebakaran melibatkan dua rumah separuh kekal di mana rumah pertama yang berkeluasan 9.1x15.2 meter persegi terbakar lebih kurang 80 peratus.
"Rumah kedua pula terbakar di bahagian dapur musnah lebih kurang 50 peratus serta sebuah tokong yang terbuka berkeluasan 9.1x15.2 meter persegi turut terbakar lebih kurang 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, terdapat sebuah jentolak musnah kira-kira 80 peratus dan dua kereta Proton Saga musnah lebih 100 peratus.
"Kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa manakala api berjaya dikawal dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan," katanya turut menjelaskan punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!