Meniarap lebih sejam bawah tangki air elak dicekup
KUALA NERUS - Seorang lelaki Bangladesh sanggup meniarap dan bersembunyi di bawah tangki air selama lebih sejam bagi mengelakkan diberkas Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu ketika serbuan di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.
Ketika operasi selama empat jam yang bermula pada jam jam 9 pagi itu, ada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggadai nyawa bersembunyi di sebalik cerucuk besi, lubang di antara cerucuk dan papan lapis selain di dalam longkang.
Bagaimanapun tindakan mereka gagal apabila berjaya dikesan sepasukan 18 anggota dan pegawai Imigresen yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, JIM Terengganu, Mohd Muda.
Timbalan Pengarah JIM Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, operasi sempena Ops Bersepadu (Ops Sapu) itu melibatkan beberapa kawasan pembinaan di sekitar daerah.
Menurutnya, 53 PATI lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun ditahan selepas 148 pekerja warga asing diperiksa.
Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Pakistan dan dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Pemeriksaan lanjut mendapati seramai 32 PATI melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial.
"Dua daripadanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan 19 lagi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mereka yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen, Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!