Penunggang motosikal diminta tampil lapor polis
BATU PAHAT – Polis meminta penunggang motosikal yang berlanggar dengan sebuah kereta bernombor plat asing di Kilometer (KM) 123.2 Lebuh Raya Utara–Selatan (arah Pagoh ke Yong Peng), pada Isnin tampil membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, selain penunggang motosikal berkenaan, sesiapa yang melihat kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 1.45 petang itu melibatkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta nombor pendaftaran Singapura yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai warga negara berkenaan berusia 52 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta berkenaan telah mengubah laluan secara tiba-tiba dari lorong sebelah kiri ke lorong kecemasan.
“Penunggang motosikal pula yang datang dari arah belakang menggunakan lorong kecemasan telah gagal mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kereta tersebut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Siasatan masih lagi dijalankan dan pihak polis memohon supaya penunggang motosikal berkenaan dan sesiapa yang melihat kejadian tersebut menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!