Mercun, bunga api bernilai RM243,712 dirampas

Mohd Rakbi (dua dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas.
Mohd Rakbi (dua dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 300 kotak yang mengandungi mercun dan bunga api seludup bernilai RM243,712 termasuk cukai selepas menahan sebuah lori di Jalan Kuala Krai-Gua Musang berhampiran Kampung Laloh, Kuala Krai Ahad lalu.

Serbuan jam 7 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa JKDM Kelantan sejak seminggu lalu.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, kesemua mercun dan bunga api yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran luar Kelantan sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Siasatan awal mendapati mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari Thailand ke negara ini melalui pangkalan haram menggunakan kaedah memunggahnya dalam kuantiti kecil.

Mohd Rakbi (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas, dipercayai untuk pasaran luar Kelantan.
Mohd Rakbi (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas, dipercayai untuk pasaran luar Kelantan.

"Mercun dan bunga api itu kemudian dikumpulkan di satu kawasan tersembunyi sebelum diangkut keluar dari negeri ini menggunakan lori," katanya.

Menurutnya, sejurus menahan lori tersebut anggota JKDM Kelantan membuat pemeriksaan lanjut dan menemui 300 kotak mengandungi mercun dan bunga api.

Katanya, selain itu JKDM Kelantan turut menahan pemandu lori yang merupakan warga tempatan berusia 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rakbi berkata, lelaki itu ditahan reman selama sembilan hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan atau kedua-duanya sekali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!