Cabaran besar pulihkan semula imej polis

No Image Caption
A
A
A

SEBAGAI sebuah pasukan keselamatan yang banyak berurusan dengan rakyat, tentunya imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa terdedah kepada perhatian umum sama ada berbentuk pujian atau tohmahan.

Dengan teknologi maklumat semakin canggih menerusi pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram serta berita pula tersebar terlalu pantas tanpa sempadan, kehebatan PDRM adakala terganggu hanya oleh segelintir perilaku anggotanya.

Dalam kes pempengaruh media sosial dari United Kingdom (UK) yang menularkan perbuatan seorang anggota polis trafik menawarkan saman RM100 boleh dibayar di lokasi kejadian, walaupun isu itu nampak kecil tapi impaknya tetap besar kerana ia melibatkan pelancong asing dan berita negatif berkenaan pula telah tular begitu meluas.

Kejadian itu walaupun melibatkan nilai wang RM100 sahaja tapi memberi kesan besar terhadap imej PDRM di mata masyarakat luar.

Tidak hairanlah apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengeluarkan kenyataan yang amat keras secara terbuka kepada semua ketua polis daerah.

Dalam peringatan kerasnya yang boleh diikuti secara meluas di media sosial, Razarudin mengarahkan semua ketua polis daerah memantau setiap aktiviti pegawai dan anggota di peringkat bawah serta pentadbiran masing-masing, jika ada antara mereka yang hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji.

Beliau berkata, ketua polis daerah akan dipertanggungjawabkan sekiranya pihak Ibu pejabat polis Bukit Aman mengesan ada pegawai atau anggota di bawah mereka yang hidup mewah, tidak setara dengan pendapatan.

“Ketua polis daerah yang tidak tahu atau buat-buat tak tahu ada pegawai atau anggota hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji, maka mereka diminta keluar (meninggalkan perkhidmatan polis),” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Arahan Ketua Polis Negara itu memang satu cabaran buat semua ketua polis daerah. Sebagai ketua penyelia di peringkat daerah, tugas tersebut wajar dipikul bersama oleh pegawai peringkat bawah dengan penuh amanah.

Sebagai pasukan besar dengan anggota hampir 140,000 orang, PDRM menghadapi cabaran yang berterusan untuk memastikan semua warganya memiliki integriti yang tinggi dan sanggup menolak rasuah walaupun sebesar mana jumlahnya.

Di luar sana, anggota dan pegawai polis yang memiliki ‘kuasa’ adakala berdepan dengan pihak-pihak yang sanggup menawarkan habuan sama ada untuk mendapatkan sesuatu, mengelak kegiatan jenayah mereka diganggu dan lain-lain lagi. Anggota yang tidak kuat iman, memang akan mudah terjebak terutama untuk mengharungi kehidupan yang semakin mencengkam sekarang ini.

Adakala pegawai dan anggota polis yang baik budi pekerti akhirnya terpaksa juga terjebak dengan rasuah atau bersubahat dengan sesuatu sindiket kerana mungkin menerima ugutan daripada pihak tertentu.

Bayangkan jika seorang pegawai polis yang baru sehari melaporkan diri di sebuah kontinjen negeri berada di sebuah kedai makan, tiba-tiba didatangi seseorang yang tidak dikenali meletakkan sampul berisi wang di meja makan dengan mesej di dalamnya, dan terus berlalu pergi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan semasa menjadi Ketua Polis Johor pernah menggunakan surat layang sebagai salah satu yang boleh dianggap sebagai ‘mata dan telinga’ untuk mengesan sebarang salah laku anggota dan kegiatan jenayah di negeri itu.

Mungkin surat layang boleh digunakan sebagai salah satu saluran untuk memastikan setiap anggota sentiasa beringat bahawa segala tindak-tanduk mereka sentiasa diawasi oleh rakan-rakan sendiri dalam pasukan.

Seperkara lagi, pemakaian body cam atau kamera badan yang bakal digunakan anggota PDRM diharap dapat membantu dalam usaha meningkatkan integriti.

Semoga peringatan keras daripada Razarudin dapat memulihkan kembali imej PDRM di mata masyarakat. Insya-ALLAH.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!