Kos operasi bertambah, pengusaha ramal pendapatan turun 40 peratus
SHAH ALAM - Kenaikan kadar bilik tidak dapat dielakkan bagi menampung kos operasi yang semakin bertambah manakala pendapatan industri ini dijangka berkurangan hingga 40 peratus.
Pengarah Urusan 1108 Hotel & Resort, Zamari Muhyi berkata, kenaikan itu tidak akan dilakukan secara drastik sebaliknya secara berperingkat.
Katanya, mereka tidak boleh menampung lagi kos operasi yang semakin meningkat.
“Walaupun SST pada 1 Mac ini tidak dikenakan ke atas makanan, minuman dan telekomunikasi tetapi perkhidmatan yang lain naik, jadi di manakah ruang untuk kami boleh bertahan dengan mengekalkan harga asal.
“Contohnya, pemeriksaan pendingin hawa. Kalau sekarang pembekal caj RM100 tetapi bila dikenakan SST mesti akan lagi mahal, mungkin naik dua peratus dan secara tidak langsung kos yang dikenakan kepada kami juga meningkat,” ujarnya.
Zamari yang juga Pengerusi MyBHA Perak berkata, keadaan bertambah kritikal dengan kenaikan kos tarif elektrik dan air.
“Pengusaha hotel membayar bil pada harga komersial berbanding pengusaha AirBNB dan penyedia penginapan tidak berlesen.
“Pihak ini hanya membayar tarif mengikut harga domestik dan tiada sebarang cukai dikenakan kepada mereka,” jelasnya.
Zamari berkata, kenaikan itu dijangka menyebabkan pendapatan industri perhotelan berkurang antara 30 hingga 40 peratus.
“Mungkin ramai pengunjung akan memilih untuk duduk di penginapan yang tidak berdaftar, tidak dikawal selia kebersihan dan keselamatan kerana lebih murah,” katanya.
** Purata harga bilik standard hotel di Kuala Lumpur
Taraf Harga Harga jika hotel bermalam naik 30%
1 bintang RM62 RM80
2 bintang RM80 RM104
3 bintang RM260 RM338
4 bintang RM430 RM559
5 bintang RM 520 RM676
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!