Think Quran: Rasai kemanisan, fahami maksud al-Quran
SHAH ALAM - Nikmat kemanisan al-Quran hanya dapat dirasai sepenuhnya oleh umat Islam apabila memahami setiap kalam ALLAH yang ada dalam kitab suci itu.
Untuk memahami kitab suci itu, ia bukan perkara yang sukar untuk dicapai sekiranya diri seseorang individu berusaha untuk memperoleh pengalaman tersebut.
Bagi pengguna aplikasi Think Quran, Haizul Aswad Ibrahim, 42, dia berpeluang merasai nikmat pengalaman memahami al-Quran apabila diperkenalkan dengan aplikasi itu.
Katanya, membaca al-Quran dengan memahami maksudnya dapat memberikan perubahan drastik dalam kehidupan setiap individu.
"Selepas mengikuti aplikasi Think Quran, 360 darjah berubah. Manisnya bila kita baca dan faham kerana ia lebih mudah untuk diamalkan.
“Tidak sukar pun belajar dengan aplikasi Think Quran ini kerana sangat fleksibel dan saya gunakan aplikasi ini di mana-mana sahaja. Mana ada orang bawa al-Quran di pasar raya, tetapi telefon sentiasa ada bersama.
“Sebab itulah saya rasa Think Quran sangat bagus dan berguna untuk mereka yang sentiasa sibuk." katanya yang juga ejen hartanah kepada Sinar Harian.
Tambahnya, permasalahan tidak memahami ayat al-Quran merupakan satu lompang yang perlu diberikan perhatian serius dalam masyarakat pada hari ini khususnya umat Islam.
Ini kerana, membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang mana ia harus dilakukan dengan sempurna dengan penghayatan yang penuh.
“Saya dulu pun hanya tahu baca (al-Quran) sahaja tetapi pada tahun 2023 seorang sahabat memperkenalkan aplikasi Think Quran. Bermula dari situ, saya rasakan ia dapat membantu saya untuk memahami maksud al- Quran.
“Kalau kita tidak mulakan sekarang (memahami al-Quran), sampai bila pun kita tidak dapat memahami maksud bila membacanya,” katanya.
Menurut Haizul, dia hanya memerlukan masa tiga bulan untuk kuasai 1,000 perkataan al-Quran yang ada dalam aplikasi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!