Budak lelaki maut ditimpa dinding konkrit
BALING - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai ditimpa dinding batu bata yang sedang dalam pembinaan di bahagian dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
Menurutnya, ibu kanak-kanak itu kemudian menghubungi suaminya memaklumkan anak mereka ditimpa dinding bata dan tidak sedarkan diri.
"Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun sedang bekerja di sebuah kilang manakala ibu kanak-kanak itu memasak di dapur," katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian, ibu kanak-kanak itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihati supaya mangsa dan adiknya berusia empat tahun tidak bermain di kawasan yang dibina oleh bapa mereka.
Malah ibu kanak-kanak itu juga dikatakan menyuruh kedua-duanya masuk ke dalam rumah namun tidak diendahkan mangsa yang terus bermain di situ.
Menurut Shamsudin, tidak lama kemudian ibunya terdengar dentuman kuat menyebabkannya bergegas menghampiri dua beradik itu.
Bagaimanapun, ketika itu, seluruh badan anaknya sudah ditimpa dinding bata.
"Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan namun hanya mengalami cedera ringan," katanya.
Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Tawar dengan bantuan jiran.
Pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.
Shamsudin berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!