Remaja ditemui lemas, dua lagi rakan masih hilang

Unit K9 membantu operasi SAR bagi mencari dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Sempit, Segari. Foto ihsan bomba
Unit K9 membantu operasi SAR bagi mencari dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Sempit, Segari. Foto ihsan bomba
A
A
A

LUMUT - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun merupakan mangsa pertama ditemukan selepas dilaporkan hilang ketika mandi dan memancing di Sungai Sempit, Tanjung Batu, Segari di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa dikenali sebagai Chew Darumaraj ditemukan pasukan penyelamat sekitar jam 9.05 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa mandi.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa diteruskan dengan tambahan dua lagi bot pasukan dan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Skop pencarian melibatkan empat bot di kedua-dua arah sungai kerana lokasi kejadian adalah berhampiran muara yang mengalami air pasang dan air surut.

Pasukan bomba melakukan penilaian pada operasi SAR hari kedua di Sungai Sempit, Segari. Foto ihsan bomba
Pasukan bomba melakukan penilaian pada operasi SAR hari kedua di Sungai Sempit, Segari. Foto ihsan bomba

"Sebuah bot akan bersedia di muka muara bagi memastikan mangsa tidak hanyut hingga memasuki laut," katanya di sini.

Sayani berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan membuat penilaian risiko dan pemantauan sekitar mangsa dilaporkan tenggelam.

Tambah beliau, operasi bermula jam 8 pagi itu turut dibantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Nelayan Batu 3 Segari.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, tiga remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti memancing dan mandi di muara Sungai Sempit, Segari di sini pada Isnin.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 petang.

Mangsa hilang dikenali Chew Darumaraj, 14; G Sarath dan T Eishwarpillai masing-masing berusia 16 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!