[VIDEO] Pendawaian elektrik punca kebakaran Flat Sri Sabah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah pendawaian elektrik di unit 3 menjadi punca kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah sebelum merebak ke lima unit lain dalam kejadian Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, dakwaan mengatakan kebakaran disebabkan bunga api adalah tidak benar.

Menurutnya, 90 peratus siasatan mengesahkan kebakaran disebabkan pendawaian dan berbaki 10 peratus lagi untuk ujian teknikal.

"Semasa kejadian unit tersebut dalam keadaan tertutup di pintu depan dan belakang.

"Kebakaran bermula di unit berkenaan sebelum merebak ke unit bersebelahan di nombor dua hingga lima unit lain," katanya pada sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras, pada Selasa.

Muhammad Salleh pada sidang akhbar di PPS SK Seri Cheras, pada Selasa.
Muhammad Salleh pada sidang akhbar di PPS SK Seri Cheras, pada Selasa.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan sebanyak enam unit rumah di tingkat 17, blok 70 Flat Sri Sabah, di sini terbakar pada Ahad.

Bagaimanapun, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu dapat dikawal JBPM pada jam 11.30 malam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berhubung dakwaan pili bomba tidak berfungsi semasa hari kejadian, Muhammad Salleh menjelaskan alat tersebut berfungsi dalam keadaan baik cuma tekanan air di tahap rendah.

"Kami telah jumpa pengadu dan mengesahkan alat yang dimaksudkan bukan pili bomba sebaliknya alat bantu mula atau dipanggil 'hose reel' tidak berfungsi.

"Pili bomba berfungsi cuma berada tekanan rendah. Keperluan minima diperlukan sekurang-kurangnya dua bar, namun jumlahnya kurang daripada itu semasa kejadian," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai melawat mangsa kebakaran di PPS Seri Cheras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!