Dosa tetap ditayangkan di akhirat walaupun sudah bertaubat?
SETIAP tindak-tanduk kita di dunia pasti akan ditunjuk semula di akhirat kelak. Ia termasuklah perbuatan dosa yang turut bakal ditayangkan.
Ketika itu, tiada apa lagi yang boleh disembunyikan kerana ALLAH SWT akan menghitung segala amalan kita dengan seadil-adilnya.
Bagaimanapun, bagi individu yang sudah bertaubat terhadap maksiat dilakukan, adakah perbuatan dosa mereka turut ditayangkan di khalayak ramai kelak?
Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, andai seseorang bertaubat dengan taubat sebenar-benarnya terhadap setiap dosa dilakukan dan disertai dengan penyesalan, maka dosa yang telah diampunkan itu akan dihapuskan.
“Bahkan, ia tidak lagi dikira sebagai dosa yang akan dipikul hingga ke hari akhirat kelak.
“Oleh yang demikian, ia tidak lagi ditayangkan pada kiamat nanti kerana orang yang bertaubat umpama mereka yang tidak melakukan dosa tersebut.
“ALLAH SWT juga telah menjanjikan bahawa tidak akan berlaku kezaliman pada hari perhitungan kelak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.
Pernyataan itu ada diungkapkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mana Sa’id bin Abu Fadhalah Al-Ansari RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang telah bertaubat daripada dosanya seperti orang yang tidak mempunyai dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tabarani)
Ia dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang hamba itu jika dia bertaubat, maka ALLAH akan ampunkannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyarankan mereka yang sudah bertaubat supaya melakukan amalan-amalan diajarkan oleh Baginda SAW yang memberi kesan terhapusnya dosa-dosa silam.
Antaranya termasuklah berwuduk dengan sempurna pada keadaan dan situasi menyulitkan serta tidak disukai, memperbanyakkan langkah kaki menuju ke masjid dan menunggu solat fardu setelah solat fardu serta menunaikan haji.
“Apa pun, kita usahlah berputus asa daripada rahmat ALLAH SWT. Ingatlah bahawa setiap insan diberikan peluang untuk bertaubat hingga ke akhir hayatnya iaitu selagi nyawa belum sampai ke halkum,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!