Bas pekerja dipandu warga asing tiada lesen disita
GEORGE TOWN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita dua bas pekerja dalam operasi Ops Khas Bulan Perayaan di Simpang Ampat, Nibong Tebal pada Isnin.
JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati, salah sebuah bas yang ditahan dipandu lelaki warga asing dan tidak mempunyai lesen memandu.
Menurutnya, selain itu, bas terbabit juga tiada lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
"Sementara itu, sebuah lagi bas dipandu lelaki tempatan dan dia juga tiada lesen memandu serta tiada PSV.
"Bas itu juga tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) selain perakuan Puspakom tamat tempoh," katanya pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, JPJ Pulau Pinang turut membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong.
"Tujuan pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas ekspres yang beroperasi pada musim perayaan ini mematuhi peraturan serta undang-undang berkuat kuasa.
"Selain itu, ia bagi memastikan bas berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan di jalan raya," ujarnya.
Dalam pada itu, Unit Falcon JPJ Pulau Pinang turut menjalankan penguatkuasaan kesalahan utama sempena Ops Khas Bulan Perayaan.
"Antara sasaran penguatkuasaan ini ialah gagal patuhi isyarat berhenti lampu merah, memandu di lorong kecemasan, potong barisan dan tidak memakai tali pinggang keledar," katanya.
Sementara itu, sebanyak 125 saman dikeluarkan JPJ Pulau Pinang dalam operasi bersepadu Ops Khas Motosikal yang dijalankan pada malam Isnin.
Operasi tersebut dijalankan sempena bulan perayaan 2024, Fasa 2 bermula jam 4 petang hingga 7 malam di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Dalam operasi tersebut, sebanyak tiga buah motosikal disita kerana kesalahan mengubah suai kenderaan secara keterlaluan.
"Operasi ini turut melibatkan beberapa agensi lain iaitu polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.
"Kita mengeluarkan 125 saman, polis pula 60 saman manakala JAS mengeluarkan 25 notis kepada semua kenderaan yang diperiksa kerana pelbagai kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!