Pengasuh tidak mengaku tampar muka bayi 11 bulan
SEREMBAN - Seorang pengasuh wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menganiaya bayi perempuan pada minggu lalu.
Tertuduh, Norsham Ismail, 66, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan telah menganiayai atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara menampar muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan jam 7.47 hingga jam 7.59 pagi, 5 Februari lalu di sebuah taska di Desa Cempaka, Nilai.
Sehubungan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh yang sudah bekerja lebih 10 tahun di pusat asuhan itu diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Partheeban.
Sebelum itu, Partheeban dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan terhadap tertuduh yang kematian suami dan tidak mempunyai anak.
Katanya, ia susulan penjaminnya merupakan adik lelakinya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang hanya bergaji RM1,800 sebulan selain perlu menanggung keluarganya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!