Harga besi naik sehingga 3.3 peratus bulan lalu
PUTRAJAYA - Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.4 hingga 3.3 peratus di kebanyakan kawasan pada Januari lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi harga seunit besi adalah di Perak dengan 3.3 peratus diikuti Pahang (0.8 peratus), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Kuching, masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus.
"Tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti papan lapis, bahan kerja paip dan cat bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, indeks harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan manakala terdapat sedikit penurunan iaitu 0.8 peratus di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Ia turut menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus di Johor, Kota Kinabalu (-0.1 peratus) dan Sandakan (-2.2 peratus)," jelasnya.
Menurut Mohd Uzir, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 'high tensile deformed bars' adalah RM3,664.51 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan iaitu 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, RM3,629.77.
"Purata harga simen (Ordinary Portland) pula mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1 peratus dengan harga RM22.97 per 50 kg sekarung berbanding Disember tahun lalu, RM23," ujar beliau.
Tambahnya, bermula Januari, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan adalah berasaskan kepada tahun asas yang baharu.
"Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada bulan itu mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 1.5 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.
"Namun begitu, terdapat sedikit penurunan bagi IKB antara -0.2 peratus hingga -0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Johor," kata Mohd Uzir.
Menurutnya, IKB di Sabah pula menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus dan 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu manakala di Sandakan mencatatkan penurunan antara -0.1 hingga -2.0 peratus.
"Perbandingan bulanan IKB di Sarawak juga menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1 hingga 0.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching, Sibu dan Miri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!