Mesej tular dakwa duit lesap punca Orang Asli takut isi data PADU

Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu membantu penduduk Orang Asli mendaftar akaun dalam PADU di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, pada Selasa. Foto Bernama
Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu membantu penduduk Orang Asli mendaftar akaun dalam PADU di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Dakwaan mesej tular kehilangan wang selepas membuat pendaftaran dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) antara punca menyebabkan golongan Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, dekat sini bimbang untuk mengisi sistem berkenaan.

Tok Batinnya, Roslan Ismail berkata, dia perlu memberi penerangan kepada penduduk kampung mengenai kepentingan mengisi PADU bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat dan bantuan kerajaan.

"Kebanyakan mereka takut nak kemas kini PADU setelah melihat mesej tular di media sosial berhubung dakwaan duit lesap setelah isi sistem tersebut. Jadi saya perlu beri penjelasan pada mereka supaya isi PADU.

"Kalau tak isi, mereka tak akan dapat bantuan mengikut kelayakan. Pada awalnya agak sukar nak pujuk mereka isi (PADU) tetapi setelah diberi penerangan tentang sistem ini maka ramai yang mula terbuka hati nak daftar," katanya.

Sebahagian penduduk yang hadir untuk mendaftar akaun dalam PADU di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman pada Selasa.
Sebahagian penduduk yang hadir untuk mendaftar akaun dalam PADU di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program pengisian PADU bersama Orang Asli di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Sungai Pergam dekat sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Roslan turut berterima kasih kepada Jabatan Perangkaan Terengganu dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri kerana mengadakan program pengisian PADU bersama Orang Asli selama dua hari bermula Selasa di kampung berkenaan.

"Hari ini kita dapat lihat ramai penduduk yang datang untuk isi PADU. Ini menunjukkan masih ramai penduduk yang sudah mula ada kesedaran untuk mendaftar.

Artikel Berkaitan:

"Usaha dilakukan oleh kerajaan dan pihak jabatan ini membantu memudahkan urusan penduduk di sini di mana kebanyakan mereka masih lagi tidak begitu faham tentang sistem PADU ini," ujarnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Rohana Dollah, 26, berkata, dia mengetahui kewujudan sistem PADU setelah dimaklumkan oleh Tok Batin berhubung program pengisian pada hari ini.

"Saya tak tahu tentang PADU tapi selepas Tok Batin jelaskan tentang manfaat mengenai sistem ini maka saya datang juga pada hari ini.

"Benda ini bagus sebab dapat kenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan," ujarnya.

Bagi Junaidah Chik, 45, pula memberitahu, dia sanggup mengambil cuti semata-mata untuk mengisi sistem PADU menerusi program yang diadakan di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Pergam.

"Pada awalnya saya takut nak daftar sebab tengok mesej tular katakan sistem ini tidak bagus dan punca duit hilang dalam akaun bank.

"Setelah diberi penerangan baru tahu isu tersebut adalah palsu. Jadi hari ini saya datang nak daftar setelah mengetahui kelebihan dan manfaat diterima," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!